fbpx

Kembara 10 hari di bumi Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS (kanan) bergambar kenangan di atas Jambatan Hussain.

SETIBA di ibu kota Islamabad, Pakistan, kami sekeluarga disambut meriah oleh ‘Bhaijaan’ dan ‘Bhaji’ di luar lapangan terbang.

Kami berkesempatan untuk mencuba sajian kabuli pulao ketika menjamu selera di Restoran Monal yang sangat terkenal dalam kalangan rakyat Pakistan dan pengembara.

Restoran yang terletak di atas bukit itu memberi kami peluang melihat pemandangan indah bandar Islamabad pada malam hari.

Pada hari kedua, kami meneruskan perjalanan ke wilayah Chilas melalui Lebuhraya Karakoram yang dikenali sebagai jalan raya tertinggi di dunia.

Setelah bermalam di wilayah tersebut, kami sempat singgah di ‘view point’ Nanga Parbat semasa menghala ke wilayah Skardu.

Nanga Parbat dikenali sebagai Killer Mountain kerana kesukaran untuk menawannya dan telah meragut ramai nyawa pendaki.

Setibanya di Skardu, kami terus ke Tasik Kachura dengan berlatarbelakangkan gunung dan dikelilingi pokok aprikot liar.

Kami terpegun dengan kecantikan panoramanya yang sungguh indah.

Keesokan harinya, kami melawat air terjun Manthokha yang tingginya mencecah 55 meter (m).

Kami sempat juga singgah ke padang pasir yang sejuk serta tertinggi di dunia iaitu Sarfaranga dan Katpana Cold Desert.

Di sini, disediakan khidmat untuk mengelilingi padang pasir menaiki pacuan empat roda, kuda atau motosikal. Masuk hari kelima, kami meneruskan perjalanan selama enam jam ke daerah Hunza.

Kami singgah sebentar di bandar Gilgit-Baltistan untuk makan tengah hari sambil disajikan dengan pemandangan gunung dan Sungai Indus.

Kami juga sempat singgah ke Rakaposhi View Point untuk melihat pemandangan Gunung Rakaposhi yang megah berdiri dan terkenal dalam kalangan pendaki.

PENULIS (kanan) bersama keluarga mengenakan pakaian tradisional Melayu bergambar dengan berlatarbelakangkan Gunung Passu Cones.

Pada keesokan harinya, kami memakai pakaian tradisional Melayu untuk bergambar di Gunung Passu Cones yang berbentuk kon serta tersusun cantik.

Uniknya kali ini, kami dapat merasai dua musim sekali gus iaitu musim panas dan salji kerana masih ada salji berbaki di kawasan Sost-Khunjerab.

Khunjerab Pass merupakan sempadan tertinggi di dunia antara Pakistan dan China yang terletak di Lebuhraya Karakoram dengan ketinggian 4,693m dari aras laut.

Pada hari ketujuh, kami mengunjungi Tasik Biru Attabad terbentuk selepas berlakunya tanah runtuh di perkampungan Attabad sehingga menyebabkan kampung asalnya musnah.

Air dari glasier dan Sungai Hunza memenuhi sehingga terbentuknya Tasik Attabad yang berwarna kebiruan.

Selepas itu, kami ke Jambatan Hussaini yang dikenali sebagai antara jambatan paling berbahaya di dunia.

Kami sempat singgah di Altit Fort iaitu monumen paling lama berdiri di wilayah Gilgit Baltistan iaitu lebih kurang 1,000 tahun lamanya.

Sebelum pulang ke hotel, kami membeli-belah barang tradisional masyarakat Hunza dan sedikit cenderamata di Karimabad Bazar.

Setelah mengambil masa 12 jam perjalanan dan bermalam di wilayah Besham, kami tiba semula di bandar Islamabad. Kami mengambil kesempatan untuk melawat Masjid Faisal.

Sebelum pulang ke Malaysia pada keesokan harinya, kami sekali lagi dibawa merasai makanan tradisional Pakistan dan sempat membeli sedikit cenderamata untuk dibawa pulang.

Kembara 10 hari keluarga kecil kami ke Pakistan merupakan satu pengalaman baharu yang akan sentiasa tersemat sebagai memori.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI