LOS ANGELES, California – Drama popular dari Korea Selatan, Squid Game akan ‘kembali’ ke saluran penstriman video Netflix pada tahun ini namun, dalam format program realiti televisyen, lapor laman berita Wion News semalam.
Dalam program dinamakan Squid Game: The Challenge itu, seramai 456 peserta akan bersaing dalam pelbagai permainan bagi memenangi hadiah utama berupa wang tunai sebanyak AS$4.56 juta (RM20.82 juta).
Ia akan disiarkan pada November 2023, demikian menurut Netflix dalam satu kenyataan Ahad lalu.
Walaupun peminat tidak sabar menunggu untuk menonton rancangan tersebut, ia sebelum ini telah menimbulkan beberapa kontroversi.
Antaranya pada awal tahun ini, sebilangan peserta melaporkan keadaan buruk pada beberapa perlawanan ketika penggambaran program tersebut.
Rancangan Squid Game itu bakal disiarkan selepas drama asalnya di Netflix menarik minat penonton di seluruh dunia pada 2021 dan dengan pantas mendaki kedudukan untuk menjadi salah satu siri televisyen yang paling banyak ditonton. – Agensi