KUALA LUMPUR – Berita gembira buat pemain negara apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ditawarkan peluang untuk menghantar pemain-pemain terpilih ke Akademi Badminton Li Yongbo di Dongguan, China menerusi perjanjian bersama FreeYond.
Hubungan baik antara Pengarah FreeYond, Datuk Eddie Chai Woon Chet dengan Yongbo dilihat sebagai ruang untuk BAM menghantar pemain negara untuk berguru dengan legenda badminton China itu.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, perjanjian yang termeterai antara badan induk sukan badminton negara dengan pengeluar barangan elektronik dari China itu dianggap sebagai antara penanda aras penting.
“Perjanjian ini antara penanda aras penting selain menunjukkan keyakinan sektor korporat kepada kita. BAM menandatangani kontrak 1+1 bersama FreeYond dengan nilai RM2 juta setahun.
“Aspek paling penting untuk kami terima tawaran FreeYond adalah Datuk Eddie memiliki hubungan baik dengan Yongbo. Beliau bercakap dengan Yongbo untuk bolehkan kita hantar pemain ke akademi beliau,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara BAM dan FreeYond di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Tambah Norza, buat masa ini BAM akan membuat penilaian terhadap semua pemain, termasuk pemain muda sebelum membuat keputusan berhubung siapakah yang ‘bertuah’ untuk dihantar ke akademi Yongbo nanti.
Pada ketika ini, beliau melihat jabatan perseorangan mungkin akan diberikan peluang sulung untuk merasai sentuhan Yongbo berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan barisan pemain.
“Kami akan kenal pasti pemain-pemain yang bakal dihantar dengan perseorangan lelaki dan wanita diberikan perhatian. Kita akan buat fasa demi masa, jadi sekarang ini fokus untuk jabatan perseorangan,” ujarnya.
Untuk rekod, Yongbo pernah menjadi ketua jurulatih China selama 24 tahun selain merupakan individu bertanggungjawab melahirkan legenda serta ikon badminton dunia, Lin Dan. – KOSMO! ONLINE