LONDON – Pengurus Chelsea, Frank Lampard menggesa pemain-pemainnya supaya bermain demi maruah menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi esok.
The Blues berada dalam situasi sukar ketika ini apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir sehingga menyaksikan mereka terkeluar dari kelompok 10 teratas liga.
Justeru, berbaki dua lagi perlawanan musim ini, Lampard berharap pemain-pemainnya dapat menjadikan situasi tersebut sebagai pembakar semangat bagi menamatkan saingan liga dengan keputusan positif.
“Saya mahukan persembahan terbaik daripada semua pemain dalam dua perlawanan terakhir menentang Manchester United dan Newcastle United. Kami perlu cari sebab mengapa standard kami merudum musim ini.
“Sebenarnya, ia berpunca daripada cara latihan kami serta sikap tanggungjawab yang ada dalam diri pemain. Sekarang kami perlu pandang ke depan dan percaya pada diri sendiri untuk ubah situasi ini,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menggesa pemain-pemainnya supaya menunjukkan kemampuan masing-masing bagi memikat hati pengurus baharu yang akan mengambil alih pasukan.
“Kami perlu tunjukkan momentum terbaik dalam dua perlawanan terakhir musim ini. Pengurus baharu akan masuk nanti, jadi ini peluang pemain untuk tunjukkan kualiti mereka dan bermain demi maruah pasukan,” ujar Lampard. – AGENSI