PETALING JAYA – Seorang warga emas mengundang simpati apabila masih gigih memohon pekerjaan di kala umurnya sudah pun mencecah 75 tahun.
Menerusi ciapan Jenjibam di Twitter, dia turut berkongsi kisah lelaki itu yang terpaksa mencari pekerjaan di usia lanjut semata-mata untuk menyara isteri dan anak yang kedua-duanya merupakan orang kelainan upaya (OKU).
“Umur dah masuk 75 datang minta kerja. Anak 11 orang daripada isteri pertama, semua dah berkeluarga. Isteri kedua OKU, dapat anak juga OKU. Nak cari duit untuk sara anak dan bini yang OKU.
“Anak dia yg 11 orang tu aku doakan anak-anak diorang balas balik la. Kau rasa aku bagi kerja ke?
“Of course (sudah tentu) la aku sebagai majikan ambik dia kerja. Selagi mana orang tu betul nak kerja, aku macam biasa la sentiasa bagi ruang dan peluang,” katanya di Twitter.
Dalam masa sama, dia turut berharap agar anak-anak kepada warga emas itu tidak mengabaikan kebajikan terhadap orang tua mereka.
“Semoga terus sihat dan kekal bertenaga untuk bekerja menyara keluarga pakcik! Yang aku nak fokus ni bukan bahagian aku bagi kerja.
“Tapi jenis anak ramai buat tak reti kat bapak sendiri ni eloklah melingkup. Bapak sorang boleh bagi makan kat anak 11 orang. Anak 11 orang tak boleh hulur kat bapak dia sorang sikit.
“Pakcik tu tahan sebak masa dia cerita. Tapi tu la, kita sebagai bapak ni kena kental jiwa dan sanubari. Kita kalau kena palau esok walaupun dengan anak sendiri, kita kena kekal steady (mantap) dan terus berdiri atas dua kaki.
“Mulut anak pun kita boleh suap, inikan pula mulut sendiri. Pakcik ni kahwin kali kedua lepas isteri pertama dia meninggal,” ujarnya lagi.
Perkongsiannya itu turut meraih pelbagai reaksi orang ramai, malah ada juga yang meminta agar dia tidak membuat sebarang spekulasi tentang anak-anak warga emas itu.
“Adalah tu penyebabnya jadi macam tu. Pikir logik takkan 11 tu langsung tak kasihankan bapak dorg. Dalam setandan pisang takkan semua busuk. Tapi kalau tak dijaga, memang boleh semua busuk,” kata seorang pengguna.
“Mungkin anak-anaknya dah bagi tapi masing-masing pun susah tak banyak la dan tak cukup kot sbb pakcik ni ada anak OKU kan?,” balas Cidut560 pula.
“Dengar satu pihak je pun boleh datang fitnah. Mungkin anak tak bagi kerja, tapi dia degil. Mungkin dia dulu abaikan anak-anak. Banyak mungkinnya. Jadi nak tolong, tolong je. Dia dengan anak-anak tu hal mereka sendiri. Jangan hakimi,” komen Orked. – KOSMO! ONLINE