LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) dapat memperkukuhkan lagi Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeorangkasa dan maritim.
Kata beliau, usaha itu penting dalam menuju ke arah untuk merealisasikan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.
“Sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya berbangga kerana negara ini memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri aeroangkasa dan marin global yang mana pada tahun 2021 ia masing-masing bernilai hampir AS$300 bilion (RM1.375 trilion) dan AS$170 bilion (RM779 trilion),” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena LIMA di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.
Menurut Anwar, LIMA dengan edisi pertamanya pada 1991 telah berkembang menjadi pertunjukan aeroangkasa dan maritim terulung di Asia Pasifik.
“Ia bermula sebagai pameran yang berfokuskan pertahanan semata-mata sebelum elemen komersial dimasukkan pada tahun 2019, seterusnya menjadikannya acara dwitahunan dengan prospek lebih menarik.
“Dengan mendedikasikan 40 peratus pameran kepada sektor komersial, ia mengukuhkan LIMA sebagai pameran yang merangkumi semua bahagian aeroangkasa dan sektor maritim daripada aspek ketenteraan dan awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE