MADINAH – Kumpulan jemaah Malaysia melahirkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk menziarahi kawasan bersejarah di sekitar bandar ini pada hari ketiga mereka berada di Madinah al-Munawwarah sebelum berangkat ke Mekah.
Rata-rata mereka kelihatan ceria dan sihat selain berpuas hati dengan pengurusan dan program yang diatur oleh petugas Tabung Haji (TH).
Semalam, mereka dibawa dengan menaiki 28 buah bas seawal pukul 6 pagi untuk menziarahi Masjid Quba, ladang kurma, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh atau Khandaq dan makam para syuhada di kaki Gunung Uhud.
Selepas melakukan solat sunat di Masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW, mereka dibawa pula ke ladang kurma Majed yang mengambil masa 10 minit perjalanan dengan bas.
Pembimbing jemaah haji, Kapten Dr. Muhaidi Mustaffa berkata, terdapat fadilat yang besar sekiranya seseorang itu mengambil wuduk di rumah lalu bersolat sunat di Masjid Quba.
“Nabi SAW bersabda dengan maksudnya solat sunat di Masjid Quba dengan wuduk yang diambil di rumah mendapat pahala seperti mengerjakan satu umrah.
“Oleh sebab itu, TH telah mengatur aktiviti ke sini untuk memberi peluang kepada jemaah yang belum pernah sampai ke sini untuk bersama-sama mendapat faedah daripadanya,” katanya ketika ditemui di sini. – KOSMO! ONLINE