GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes pemerasan dan menyimbah asid serta cat membabitkan premis-premis menjual kenderaan terpakai serta baharu di dua daerah negeri ini selepas menahan lima suspek semalam.
Kesemua suspek lelaki itu diberkas dalam tempoh tiga hari selepas polis menubuhkan pasukan task force khusus untuk menyelesaikan kes tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, bermula 12 Mei hingga 23 Mei lalu, sebanyak 15 kes khianat dan pemerasan ke atas premis menjual kenderaan baharu dan terpakai dilaporkan di sekitar Timur Laut dan Barat Daya.
Menurutnya, kelima-lima suspek berusia 26 hingga 63 itu ditahan kira-kira pukul 5.15 petang semalam hingga 3 pagi tadi di kawasan berasingan di Bayan Baru dan George Town.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis telah berjaya menyelesaikan 15 kes pemerasan dan simbah cat asid melibatkan premis menjual kenderaan iaitu 12 kes di Timur Laut dan tiga kes di Barat Daya.
“Kesemua suspek ini tidak bekerja dan mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut, polis juga masih lagi mencari suspek lain yang mungkin terlibat dalam kes ini,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan dan amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut Kok Chin, daripada siasatan lanjut, polis mendapati suspek yang berusia 36 tahun bertindak menyimbah cat dan asid ke premis-premis terlibat.
“Suspek-suspek lain didapati bersubahat dengan suspek yang menyimbah cat dan asid ini. Mereka didapati saling mengenali dan kita percaya ada suspek-suspek lain di belakang mereka,” katanya.
Secara keseluruhan sebanyak 43 kereta dan 18 motosikal pelbagai jenama telah mengalami kerosakan dan anggaran kerugian adalah RM60,000. – KOSMO! ONLINE