KUALA LUMPUR – Padah menaiki kenderaan persendirian melebihi dua orang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiga lelaki warga asing masing-masing didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap dua warga Myanmar, Thaung Myint, Md Nay Lin dan warga Bangladesh Sabbir Bhuiyan selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga OKS berusia 35 hingga 39 tahun itu menjalani hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berada dalam kenderaan persendirian melebihi dua orang dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No 8) 2020.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekatan jalan raya di hadapan Bangunan One Maxim, Jalan Sentul di sini, pukul 9.30 pagi pada 20 Oktober lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
Namun peguam P.Suthes yang mewakili semua OKS memohon hukuman denda minimum atas alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.-K! ONLINE