JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bertekad untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti tidak bermoral diadakan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata demikian ekoran satu poster parti tidak senonoh yang tular di media sosial, semalam.
Katanya, pihaknya juga sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.
“Jangan cuba berkelakuan dengan perangai buruk di Johor, mengajak orang melakukan maksiat terang-terangan dan tak bermoral.
“Saya dah arahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor siasat dan ambil tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga memberi amaran tidak akan membenarkan aktiviti sedemikian berlaku di negeri Johor.
“Saya bagi amaran, Demi Allah saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor. Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini,” tegasnya.
Terdahulu, tersebar satu poster ‘parti liar’ yang dijangka akan diadakan di bandar raya ini pada 20 Jun depan bermula pukul 4 petang hingga 9 malam selain menyarankan peserta membawa kondom serta tuala sendiri. – KOSMO! ONLINE