GEORGE TOWN – Ahli keluarga peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), yang juga orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim tetap mengharapkan kepulangannya ke tanah air.
Kakak Muhammad Hawari dikenali dengan nama Tikah berkata, mereka sekeluarga menanti perkembangan terkini mengenai operasi mencari anak ketiga daripada lima beradik itu dengan penuh harapan.
“Setakat hari ini (semalam), tiada apa-apa perkembangan terkini lagi. Kami tidak dimaklumkan apa-apa berita mengenainya.
“Depa (pihak terlibat) masih kerahkan tenaga untuk mencari. Itu sahaja lah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang Jumaat lalu ketika turun dari Kem 4 selepas berjaya menakluk puncak Everest pada Khamis.
Pada hari sama, Pengarah Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awan Iskandar Ampuan Yaacub, 56, meninggalkan dunia selepas terjatuh semasa mendaki ke puncak.