KOTA BHARU – Kelantan FC tewas di laman sendiri selepas dibelasah PDRM FC 1-4 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi sekali gus menyaksikan Kelantan FC mengalami kekalahan kali ke-10 selepas mengharungi 12 perlawanan setakat ini.
Dalam perlawanan itu, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Marcus Papee Macauley yang bijak memperdayakan benteng pertahan tuan sekaligus mudah menewaskan penjaga gol Nik Mohd. Amin Ahmad.
Kerapuhan benteng pertahanan Kelantan FC terus dihukum pelawat pada minit ke-33 selepas Mohamad Nabil Ahmad Latpi berjaya melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh Nik Mohd. Amin hasil serangan balas pantas.
Tersentak dengan dua jaringan awal pelawat, skuad kendalian Frank Bernhardt cuba bangkit untuk merapatkan jurang, namun gagal apabila benteng pertahanan PDRM kekal tenang menafikan setiap percubaan dilakukan oleh The Red Warriors (TRW).
Bersambung babak kedua, Kelantan FC terus dirundung malang apabila Uche Agba menghukum kealpaan barisan pertahanan TRW dengan gol ketiga PDRM FC pada minit ke-65.
Bruno Suzuki melengkapkan malam derita TRW dengan meledak jaringan keempat selepas tenang menyempurkan sepakan penalti pada minit ke-90 perlawanan sebelum Kelantan FC memperoleh jaringan sagu hati pada masa tambahan babak kedua menerusi tandukan Miguel Cifuentes. – KOSMO! ONLINE