SEREMBAN – Hajat pasukan Kelantan United FC untuk mencipta kemenangan pertama dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak kesampaian.
Dalam perlawanan itu pasukan Kelantan United FC dan NSFC berakhir dengan keputusan seri 3-3 setelah pemain gantian NSFC, Filemon Anyie Standly berjaya menyamakan kedudukan pada minit tambahan sebelum wisel penamat dibunyikan.
Gol pertama Kelantan United FC dijaringkan oleh Jose Elmer Porteria pada minit ke-1 sebelum Kelantan United FC berjaya menghasilkan gol kedua oleh Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-33.
NSFC berjaya menghasilkan gol pertama pada minit ke-35 oleh Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan cubaan NSFC untuk menyamakan kedudukan berjaya hasil jaringan Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-70.
Kelantan United FC menjarakkan kedudukan hasil sepakan penalti Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-79 sebelum perlawanan tamat dengan tambahan masa lima minit.
Seramai 1,114 penonton hadir menyaksikan perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini. – KOSMO! ONLINE