KUALA LUMPUR – Berkat persefahaman dan permuafakatan jawatankuasa komuniti Alam Damai, Cheras di sini khususnya diketuai oleh urusetia Masjid Al-Mukhlisin di kawasan tersebut telah berjaya menganjurkan program rumah terbuka yang cukup meriah baru-baru ini.
Dianggarkan hampir 6,000 tetamu pelbagai bangsa dan agama berkunjung ke perkarangan masjid tersebut untuk sama-sama menyambut hari terbuka Aidilfitri dengan menikmati pelbagai menu makanan yang enak belaka.
Setiausaha jawatankuasa majlis tersebut dan juga Ketua Imam Masjid Al-Mukhlisin, Muhammad Haziq Iqbal Azaro berkata, perancangan awal telah dibuat untuk menjayakan program tahunan masjid tersebut yang dimulakan sejak tahun 2013.
“Sebanyak 17 gerai yang menghidangkan pelbagai makanan seperti kambing golek, sate, lemang dan serunding, apam balik dan pelbagai lagi yang mewakili taman dan surau di kawasan ini.
“Terdapat pertandingan gerai tercantik dihias dan kami menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan tersebut baru-baru ini.
Muhammad Haziq menjelaskan, penganjuran sambutan tahun ini agak meriah berbanding tahun sebelumnya kerana terdapat empat artis veteran membuat persembahan menghiburkan tetamu selain kehadiran artis jemputan lain serta tetamu undangan lain.
“Inilah masa terbaik untuk kami mengeratkan silaturrahim dalam kalangan warga penduduk di Alam Damai tidak kira bangsa dan agama, menikmati makanan popular hari raya selain dihiburkan dengan persembahan daripada artis,” jelasnya.
Turut memeriahkan lagi majlis adalah pemberian duit raya oleh Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim kepada tetamu kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun. -KOSMO!ONLINE