NEWCASTLE – Leicester City berada di ambang penyingkiran saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Newcastle United di St. James Park awal pagi semalam.
Walaupun menghuni tangga ke-18 liga, namun pengurus sementara The Foxes, Dean Smith percaya tekanan lebih tinggi dihadapi pasukan tangga ke-17, Everton yang memiliki kelebihan dua mata menjelang aksi terakhir liga hujung minggu ini.
Bagaimanapun, Leicester dijangka berdepan laluan lebih sukar apabila melayan kunjungan West Ham United, manakala Everton bakal membuat perhitungan dengan Bournemouth pada hari terakhir nanti.
“Saya fikir kami sudah letakkan tekanan ke atas mereka (Everton). Sekiranya mereka seri dan kami menang nanti, kami akan terus berada dalam saingan Liga Perdana. Mungkin perbezaan jaringan juga akan menjadi penentu.
“Saya tahu kami akan berdepan cabaran sukar menentang West Ham yang baru sahaja melayakkan diri ke perlawanan akhir di pentas Eropah. Saya kenal pengurus West Ham (David Moyes) dan beliau tidak akan beri laluan mudah kepada kami,” kata Smith.
Sementara itu, beliau yakin Leicester mampu melakukan sesuatu ketika bertemu West Ham nanti sekiranya mereka menampilkan aksi sama seperti yang ditampilkan semasa menentang Newcastle.
“Aksi menentang Newcastle adalah sesuatu yang sangat diharapkan oleh penyokong dan mereka berhak untuk menyaksikan permainan seperti itu. Saya percaya tiga pasukan berdepan aksi mendebarkan pada hari terakhir nanti,” ujarnya. – AGENSI