NEWCASTLE – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe mengakui dapat menarik nafas lega apabila menyaksikan skuad kendaliannya itu mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
The Magpies memastikan tempat ke kancah elit bola sepak Eropah itu selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park awal pagi semalam.
Kejayaan Newcastle melayakkan diri ke Liga Juara-Juara boleh dianggap sebagai cerita dongeng memandangkan mereka berada di ambang penyingkiran ketika Howe dilantik sebagai pengurus 12 bulan lalu.
“Saya rasa sangat lega, malam yang sungguh bermakna untuk kami dan penyokong selepas pencapaian ini. Sasaran awal bukannya empat teratas kerana saya rasakan kami belum bersedia pada permulaan musim.
“Bagaimanapun, kemahuan tinggi ditunjukkan semua pemain sangat menakjubkan. Saya sangat gembira kerana kami tidak lagi diancam penyingkiran seperti yang dialami sebelum ini,” kata bekas pengendali Bournemouth itu.
Dalam pada itu, beliau percaya mereka akan berdepan tempoh sukar semasa jendela perpindahan musim panas nanti kerana perlu membuat penilaian terbaik bagi mendapatkan pemain-pemain baharu.
“Ada senarai kecil pemain yang akan dinilai pada jendela perpindahan nanti, jadi ia sangat sukar untuk kami membuat pilihan. Kami perlukan pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan ini,” ujar Howe. – AGENSI