DIKECAM kerana tidak cukup ‘putih’ menjayakan watak ikonik, Ariel dalam filem The Little Mermaid, pelakon Halle Bailey berlapang dada dengan tohmahan ramai.
Kata pemilik nama lengkap, Halle Lynn Bailey itu ketika ditemubual Kosmo! Online secara virtual sebentar tadi, dia berbangga dengan warna kulitnya yang sedikit gelap tidak kira apa diperkatakan peminat.
“Saya tahu filem The Little Mermaid mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam jiwa orang ramai di seluruh pelosok dunia.
“Bagaimanapun, saya sangat berbangga dapat mewakili orang kulit hitam dalam filem ini. Tak kisah apa orang kata, mereka tidak akan pernah berhenti berkata-kata.
“Apa yang saya boleh janjikan, saya sudah beri yang terbaik buat The Little Mermaid. Terpulang kepada penonton untuk menghakiminya di panggung wayang nanti,” ujarnya tersenyum menjawab soalan terbabit.
Kata Halle, 23, yang pernah menerima pencalonan sebanyak lima kali dalam acara muzik berprestij, Grammy Awards menerusi duo Chloe x Halle, usah menghakimi sebelum menonton The Little Mermaid di pawagam berdekatan terlebih dahulu.
“Saya okey dan tak kisah dengan apa orang cakap. Cuma, saya nak nasihatkan, sebelum cakap apa-apa (kritik), silalah tonton The Little Mermaid dahulu di pawagam.
“Dah tonton, cakaplah apa yang kalian suka nanti,” ujar Halle yang sebelum ini membina nama sebagai pelakon menerusi sitkom televisyen, Grown-ish.
The Little Mermaid arahan Rob Marshall merupakan naskhah live action (aksi langsung) pertama berdasarkan cerita dongeng kegemaran kanak-kanak yang banyak dipaparkan dalam bentuk kartun dan buku cerita.
Filem tersebut juga dijayakan pelakon yang pernah menerima pencalonan Academy Awards, Melissa McCarthy yang memainkan peranan villain bernama Ursula.
The Little Mermaid edaran Walt Disney Studios Motion Pictures akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula Khamis ini (25 Mei 2023). – KOSMO! ONLINE