fbpx

Kerja baiki paip pecah selesai, bekalan air diterima 12 tengah malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abas (tiga kanan) menyaksikan ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (dua dari kanan) mengagihkan air botol kepada penduduk Pangsapuri Pendamar A di Klang, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KLANG – Bekalan air akan mula diterima tengah malam ini selepas kerja-kerja kecemasan pembaikan paip yang pecah di Jalan Bukit Cerakah, Puncak Alam telah siap sepenuhnya mengikut jadual.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Ir. Abas Abdullah berkata, kerja-kerja tersebut berjaya disiapkan pukul 3 pagi tadi selepas bermula pukul 9 pagi semalam.

Katanya, pembaikan kecemasan itu melibatkan paip saluran utama yang bersaiz berdiameter 2,200 milimeter (mm).

“Kini, penyaluran air telah bermula dari kolam Bukit Mayong ke kolam Lam Bee sebelum disalurkan kepada pengguna.

“Jadi, kami jangka kawasan dalam kumpulan pertama yang telah diklasifikasikan terima air selewat-lewatnya pukul 12 tengah malam ini,” katanya dalam program pengagihan air botol kepada penduduk Pangsapuri Pendamar A di sini, hari ini.

Sebanyak 400 botol air disumbangkan Air Selangor menerusi program itu kepada kira-kira 400 penduduk pangsapuri berkenaan.

Dalam pada itu, Abas memaklumkan bekalan air kawasan dalam kumpulan kedua pulih sepenuhnya kira-kira pukul 9 malam esok.

“Sebanyak 99 buah kawasan yang ada dalam dua kumpulan ini dan saya harap penduduk dalam lokaliti yang terjejas dapat bersabar sedikit lagi.

“Kami mohon maaf atas apa yang berlaku, namun akan sentiasa komited menyelesaikan semua permasalahan berkaitan bekalan air secepat mungkin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI