LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) akan mempertontonkan empat buah kapal dan dua helikopter miliknya dalam pemeriksaan armada sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) bermula hari ini.
APMM dalam satu kenyataan memberitahu, pameran segmen maritim itu turut melibatkan demonstrasi menyelamat di kapal untuk tatapan pengunjung.
“Demonstrasi menyelamat di kapal yang akan dikendalikan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (STAR TEAM) bagi memperlihatkan bagaimana agensi ini melaksanakan tugas dalam situasi sebenar.
“Ia khususnya yang melibatkan serangan bersenjata oleh pihak penjenayah di laut seperti rompakan atau kegiatan jenayah di laut yang lain,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, APMM turut terlibat dalam pameran statik dengan membawa aset milik agensi seperti bot Benteng dan jet ski di di samping reruai terbuka yang menampilkan maklumat berkaitan agensi selain pameran senjata serta teknologi terkini yang diguna pakai.
Selain pameran di RWL, APMM turut memberikan peluang kepada pengunjung LIMA’23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) untuk merasai suasana berada di atas kapal sebenar dengan teknologi realiti maya (VR).
Jelasnya, VR yang disediakan memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat daripada perspektif seorang anggota APMM yang sedang bertugas melaksanakan operasi penguatkuasaan di atas bot serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari udara menggunakan kaedah ‘winching’.
Selain itu, LIMA’23 turut dijadikan batu loncatan bagi APMM untuk menjalinkan kerjasama dengan sektor komersial sama ada syarikat tempatan mahupun antarabangsa dalam mendapatkan teknologi terkini khususnya dari aspek keselamatan dan penguatkuasaan di laut. – KOSMO! ONLINE