MELAKA – Perbuatan seorang duda tiga anak sanggup mengugut ibu kandungnya sendiri menggunakan pisau kerana ingin mendapatkan wang berbalas selepas dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wira Md. Aris, 41, yang membuat pengakuan bersalah bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu sendiri, Ara Sembok, 66, dengan maksud hendak menakutkannya menggunakan sebilah pisau dalam keadaan marah untuk meminta wang.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di ruang dapur sebuah rumah bernombor di Bertam Malim dalam daerah Melaka Tengah pada 22 September 2022.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Sementara itu, Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh hanyalah seorang nelayan dengan pendapatan RM800 sebulan dan perlu menanggung tiga orang anak.
Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Mei 2023. – KOSMO! ONLINE