fbpx

Miliki tiga butir peluru, lelaki warga Amerika Syarikat didenda RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trail dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sepang selepas didapati bersalah memiliki peluru ketika pemeriksaan bagasi di KLIA, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

SEPANG – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki tiga butir peluru tanpa lesen atau permit pada Jumaat lalu.

Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan membuat keputusan itu selepas tertuduh, David Allen Trail, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Tertuduh yang merupakan penyelia pengeluaran dalam industri sintetik itu diperintahkan menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dua butir peluru jenis 7.62 x 39 mm Tulammor dan sebutir peluru jenis 7.62 x 39 mm Wolf buatan Rusia tanpa lesen atau permit yang sah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Balai Pelepasan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kira-kira pukul 10.40 malam, Jumaat lalu.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan sewajarnya sebagai pengajaran.

Sementara itu, peguam tertuduh, S. Vivek dalam hujahannya memberitahu mahkamah Trail berada di negara ini selama lima minggu atas urusan kerja dan mewakili majikannya di Amerika Syarikat.

Menurutnya lagi, adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk Trail memiliki peluru di negara asalnya, serta Trail tidak mempunyai niat untuk aktiviti pengedaran atau pembuatan peluru di Malaysia selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI