fbpx

29,397 pemeriksaan, lima aduan gula selesai di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Leong (duduk, dua dari kanan) pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.

IPOH – Bekalan gula di Perak adalah terkawal dan mencukupi bagi pengguna bahkan harganya juga tidak naik sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Pengerusi Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, sejak Januari sehingga semalam, sebanyak 29,397 pemeriksaan telah dijalankan dan lima aduan diselesaikan berkaitan bekalan dan harga gula di seluruh negeri.

“Tambahan pula, gula adalah barang harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Akti Pencatutan 2011 yang dikuatkuasakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Harga borong gula bertapis kasar RM2.77 perkilogram (perkg) dan gula bertapis halus RM2.85 perkg manakala harga runcit gula bertapis kasar RM2.85 perkg dan gula bertapis halus RM2.95 perkg,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Mohd. Fakhruddin Abd. Aziz pada sidang Dewan Undangan Negeri semalam bahawa harga gula kini telah mencecah RM4.80.

Sementara itu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aduan yang diterima pihaknya adalah dari Manjung iaitu sebanyak tiga aduan serta masing-masing satu aduan di Pengkalan Hulu dan Taiping.

“Empat aduan berkaitan harga yang tinggi dan satu mengenai bekalan tak mencukupi. Satu kes iaitu menjual gula pada harga tinggi iaitu RM3.20 dan ia dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM500,” katanya.

Katanya, aduan di Pengkalan Hulu adalah berkaitan kekurangan bekalan gula, namun ia disebabkan oleh kawasan tersebut menerima stok bahan tersebut dari Kedah.

“Mungkin Kedah kekurangan gula ketika itu, tetapi ia telah diselesaikan oleh pemborong-pemborong lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah kekurangan gula di suatu kawasan berkemungkinan berpunca daripada pembelian dalam kuantiti banyak oleh golongan pengguna di sana.

“Mungkin sebab bekalan sampai lambat dan stok pula habis. Secara umumnya di Perak tak ada masalah bekalan gula. Daripada lima premis kita semak, mungkin empat ada dan satu tiada (gula).

“Sebagai contoh, kita lakukan pemeriksaan pada Sabtu, mungkin Isnin (bekalan gula) baru sampai bekalan gula. Mungkin ada pembelian lebih banyak di kawasan-kawasan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI