MELAKA – Pengguna di negeri ini turut mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula, malah ada yang mendakwa terpaksa bergerak lebih 20 kilometer (km) dari kawasan penempatan demi mencari barang keperluan harian itu.
Seorang peniaga air balang, Kamaruddin Abdullah, 61, berkata, dia yang menetap di Sungai Udang terpaksa mencari bekalan gula sehingga ke bandar Melaka susulan kebanyakan kedai di kawasannya telah kehabisan stok.
Katanya, pasar raya besar dan kedai runcit kini mula mencatu kuantiti pembelian dengan mengehadkan sebanyak dua peket bagi setiap pengguna.
“Saya perlu 20 kilogram gula setiap hari untuk menyediakan air gula, tetapi sejak kebelakangan ini sukar hendak berniaga kerana banyak membuang masa keluar mencari gula.
“Saya cari sehingga ke bandar dengan perjalanan lebih 20 km untuk mencukupkan bekalan, kalau tidak cukup sekali pun saya tetap berniaga tetapi apabila air gula tinggal sedikit, saya perlu keluar untuk membeli gula,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tinjauan Kosmo! di tujuh kedai runcit di sekitar Sungai Udang dan Tangga Batu mendapati hanya sebuah kedai runcit yang mempunyai bekalan gula.
Rata-rata pemilik kedai runcit mendakwa bekalan gula tidak mencukupi kerana pelanggan membuat pembelian panik susulan ada khabar angin berhubung kenaikan harga gula.
Sementara itu, peniaga yang mahu dikenali sebagai Borhan, 47, berkata, meskipun bekalan masih tidak banyak, namun keadaan itu dilihat semakin pulih sejak minggu lalu selepas masyarakat mula membuat aduan mengenai isu tersebut.
“Orang ramai beli banyak gula pun hendak buat apa? Dulu boleh beli berapa banyak peket gula tanpa masalah, kedai-kedai pun banyak bekalan, tetapi sekarang komoditi itu semakin terhad pula.
“Peniaga air balang seperti saya tengah pening hendak cari gula di mana lagi selepas ini, setiap hari kena keluar masuk kedai yang berbeza semata-mata untuk mendapatkan gula demi mencari rezeki,” ujarnya.
Ujarnya, dia berharap agensi penguat kuasa berkaitan menyiasat punca sebenar kekurangan itu dan mengambil tindakan sekiranya ia melibat kegiatan menyorok bekalan yang didalangi pihak pemborong sebagai langkah mendesak kerajaan menaikkan harga barangan tersebut. – KOSMO! ONLINE