fbpx

BDB bina rumah mampu milik di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) bersama Che Had (kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Pelancaran Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di Kuah, Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikat penuh miliknya BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) akan membangunkan perumahan mampu milik di pulau ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM60.7 juta.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, projek yang akan dikenali dengan nama Aman Nusa itu bakal dibangunkan di atas tanah seluas 6.83 hektar tidak jauh dari pusat bandar Kuah.

“Saya diberitahu bahawa BDB telah memperuntukkan pembangunan 35 unit Rumah Kasih Rakyat, 12 unit Rumah Makmur Kedah dan sembilan unit Rumah Aman Kedah.

“Di samping itu juga, Aman Nusa turut merangkumi perancangan pembinaan 120 unit rumah teres satu tingkat dan 27 unit kedai pejabat dua tingkat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di sebuah hotel di sini hari ini.

Kata beliau, Rumah Kasih Rakyat merupakan rumah kos rendah sementara Rumah Aman Kedah dan Rumah Makmur Kedah pula adalah rumah kos sederhana rendah dan rumah kos sederhana dengan harga rumah antara RM45,000 hingga RM350,000.

Sementara itu, dalam majlis sama, Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali berkata, lokasi pembangunan Aman Nusa terletak kira-kira 4 kilometer (km) dari Kuah dan dijangka akan bermula pada hujung tahun ini dan bakal disiapkan pada tahun 2025.

“BDB melihat terdapat peluang untuk kami sebagai anak syarikat kerajaan negeri untuk terlibat dalam pembangunan sektor perumahan di Langkawi.

“Ia berdasarkan data kenaikan penduduk daripada Jabatan Perangkaan Negara yang melihat 95,000 penduduk pada 2010, 112,000 orang penduduk pada 2020, dan tahun ini mencecah 120,000 orang penduduk,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI