LONDON – Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka tampil mempertahankan Mikel Arteta dan menegaskan, pengurus itu tidak boleh dijadikan ‘kambing hitam’ atas kekecewaan pasukan melepaskan peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Mengambil kira prestasi sepanjang musim, Xhaka merasakan Arteta sudah meletakkan The Gunners di tahap berbeza dan pengurus muda dari Sepanyol itu adalah individu tepat untuk mengetuai pasukan tersebut.
“Kamu boleh lupakan soalan itu kerana dia lebih daripada layak untuk mengetuai pasukan ini. Sekalipun sekarang kami tewas dalam dua perlawanan terakhir, kami tidak boleh lupakan bagaimana kami bekerja sepanjang 11 bulan.
“Sudah pasti apabila kamu sudah hampir dengan kejuaraan, kamu juga mahu cuba memenanginya. Namun, sasaran kami adalah untuk kembali ke kelompok empat terbaik dan sekarang kami berada di tempat kedua.
“Gagal julang trofi memang mengecewakan buat semua orang, namun kami berhak berada di kedudukan sekarang dan kita lihat apa yang akan jadi musim depan kerana kami pastinya akan memulakan langkah baharu,” katanya.
Bintang dari Switzerland juga ingatkan seluruh pasukan yang Arsenal bakal berdepan ujian lebih sukar musim depan dan usaha tambah baik perlu dimulakan daripada sekarang.
“Agak mudah untuk bercakap tentang kegagalan kami musim ini. Kami sudah harungi musim yang hebat, namun kami perlu baiki lagi kerana musim depan akan lebih mencabar,” katanya. – AGENSI