PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, ribut petir dan hujan lebat itu dijangka melanda Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor, Sabah serta Sarawak.
“Perak antaranya di Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
“Kelantan di Jeli dan Gua Musang. Terengganu pula di Kuala Nerus, Hulu Terengganu, dan Marang. Pahang antaranya Tanah Tinggi Cameron, Bentong dan Kuantan,” katanya.
Sementara itu, di Selangor melibatkan Hulu Selangor dan Gombak manakala Johor antaranya Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
“Sarawak antaranya Kuching, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu. Sabah antaranya Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan,” katanya.
Menurutnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE