JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi sekumpulan wanita menayangkan longgokan duit kutu berjumlah 2.5 bilion rupiah (RM762,933), lapor laman berita Tribun Jateng semalam.
Berdasarkan video itu, wang kertas denominasi 100,000 rupiah (RM30.50) dan 50,000 rupiah (RM15.25) dilonggok di atas meja sebuah kafe di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
Mereka dilihat teruja menanti cabutan undi bagi menentukan siapa yang bakal menerima wang sebanyak itu.
Menurut maklumat, kumpulan tersebut menyumbang duit kutu sebanyak 100 juta rupiah (RM30,520) sebulan, setiap orang.
Video tersebut tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Ia sama sahaja seperti berhutang dan meminjam duit orang lain,” kata seorang pengguna media sosial.
“Asal sahaja mereka semua membayar secara berdisiplin dan konsisten. Bagaimanapun, kebiasaannya sukar untuk menghubungi mereka yang awal menerima duit kutu,” ujar netizen lain.
Sementara itu, Pejabat Wilayah Direktorat Awam Cukai Sulawesi Barat dan Tenggara berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut.
“Ya, kami sedang memantau video tersebut,” kata pemangku Ketua Direktorat Awam Cukai P2Humas Sulawesi Barat dan Tenggara, Alimuddin Lisaw seperti dipetik laman berita Detik.
Namun, kata Alimuddin, pihaknya ketika ini tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai tindakan yang akan diambil kerana masih mengumpul bukti kejadian itu.
Tambahnya, hal itu akan diselidiki dengan lebih lanjut oleh unit kerja di bawah Direktorat Awam Cukai atau pejabat perkhidmatan cukai tempatan. – Agensi