PELUANG menjejakkan kaki ke Syria pada tahun lalu telah membuka mata seorang wanita terhadap kesukaran hidup yang ditempuh oleh masyarakat di sana.
Bukan sekadar menyaksikan kedaifan masyarakat di sana, antara perkara paling menyentuh hati wanita berusia 49 tahun itu adalah kesukaran mereka mendapat bekalan makanan.
Pengasas dan Pengerusi Angel Group Creative Financial Solution (Angel Group), Dr. Rukhaidah Abd. Karim berkata, dia tidak menyangka isu bekalan makanan sangat kritikal dalam kalangan penduduk Syria.
“Pihak kami (Angel Group) sejak beberapa tahun lalu sudah beberapa kali menjalankan kerjasama bagi memberi bantuan kepada Syria dan Yaman.
“Namun selepas diberi peluang untuk ke Syria, kami dapati bahawa penduduk di sana sangat sukar mendapatkan bekalan makanan.
“Selepas pulang ke tanah air, Allah SWT sekali lagi membuka peluang buat kami menghulur bantuan.
“Kali ini, kami ditawarkan untuk mengambil alih kilang roti di Syira yang sudah tidak beroperasi kerana tiada dana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Angel Group di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, peluang itu diambil oleh pihaknya dan pada tahun pertama, Angel Group telah membelanjakan kira-kira RM2.74 juta bagi menghidupkan operasi penghasilan roti di kilang tersebut.
Kongsinya lagi, setakat hari ini, kilang roti tersebut dapat membekalkan kira-kira 60,000 keping roti sehari yang diagihkan kepada golongan memerlukan di Syria.
Untuk makluman, Angel Group merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan untuk membantu orang ramai mencipta dan melindungi kekayaan mereka.
Agensi itu memberi pilihan kepada individu, pemilik syarikat dan masyarakat untuk meningkatkan tahap ekonomi sambil menjana pendapatan menerusi pelaburan jual beli emas secara dalam talian.
Ditubuhkan pada 2020, Angel Group berjaya menempa kejayaan dalam tempoh tiga tahun.
Pada masa sama, agensi itu juga aktif menjalankan aktiviti kebajikan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ujar Rukhaidah lagi, kilang roti di Syria merupakan salah satu usaha CSR yang dilaksanakan oleh pihaknya dan ia akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Pihak kami berpegang kepada konsep the more we get, the more we give. Setiap tahun kami berusaha untuk meningkatkan lagi jumlah bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“CSR kami lebih kepada sedekah amal jariah yang berterusan.
“Dengan sumbangan dana buat kilang roti di Syria, kami harap lebih ramai penduduk di sana dapat dibantu.
“Selain itu, pihak kami merancang untuk mengembangkan lagi usaha bantuan ini.
“Kami berhasrat untuk mengambil alih sebuah lagi kilang roti di Yaman selepas ini,” kongsinya.
Jelasnya lagi, selain melakukan CSR di luar negara, pihaknya juga tidak melupakan kebajikan orang-orang yang memerlukan di dalam negara.
Menurutnya, pihaknya turut memberikan bantuan kepada rumah-rumah anak yatim terpilih dan menjemput mereka untuk menghadiri majlis-majlis anjuran agensi berkenaan.