JOHOR BAHRU – Fenomena El Nino yang melanda negeri ini sejak beberapa minggu menyaksikan berlaku penyusutan di empangan namun keadaannya masih tidak membimbangkan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan cuaca ekstrem di negeri ini secara lebih dekat sebagai mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi segala kemungkinan.
Beliau berkata, berdasarkan situasi terkini, keadaan di negeri ini masih terkawal dan belum menerima laporan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Mengambil kira fenomena cuaca panas ekstrem, kerajaan negeri sudah mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan impak kepada masyarakat.
“Keadaan empangan di Johor juga juga masih dalam keadaan terkawal walaupun surut sedikit. Pemantauan rapi dibuat terhadap semua 14 empangan selain Loji Rawatan Air (LRA) dan intake sungai.
“Alhamdulillah, hujan turun sejak tiga hari lalu dan diharap paras empangan kita akan terus stabil,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Warisan Johor (YWJ), di sini hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor sebagai negeri yang mudah dipengaruhi Fenomena El Nino berdasarkan pengalaman kejadian itu pada 2015 dan 2016.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, langkah keselamatan dari aspek kesihatan diberi perhatian utama selain akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ). – KOSMO! ONLINE