JAKARTA – Harga tiket konsert kumpulan rock popular, Coldplay yang mahal mencetuskan banyak perdebatan di media sosial Indonesia sehingga ada yang menghasilkan meme menyeru umat Islam agar menggunakan wang mereka untuk melaksanakan ibadah korban, lapor laman berita Okezone kelmarin.
Menerusi meme yang kini tular di internet, netizen menyeru peminat di Indonesia supaya mengutamakan bayaran untuk melaksanakan ibadah korban sebelum menonton konsert Coldplay.
Meme tersebut mempunyai imej lembu di samping kumpulan Coldplay yang membuat persembahan.
Konsert Coldplay di Indonesia bakal berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 15 November depan.
Tiket dijual pada harga berbeza berdasarkan kategori yang bermula daripada 800,000 rupiah (RM243) hingga 1.2 juta rupiah (RM365) serta 5 juta rupiah (RM1,523).
Dua kategori termahal yang menjadi perhatian ramai pula berharga 5.7 juta rupiah (RM1,737) dan 11 juta rupiah (RM3,352).
Sementara itu, Hari Raya Aidiladha dijangka disambut oleh umat Islam di Malaysia pada 29 Jun ini, bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1444 H. – Agensi