fbpx

Henti tuding jari prestasi Sukan SEA Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

KONTINJEN Malaysia yang menamatkan perjalanan pada temasya Sukan SEA Kemboja Rabu lalu pulang dengan kekecewaan apabila gagal melepasi sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan pada sukan dwitahunan itu.

Pelbagai alasan diberikan termasuk ketidakstabilan politik berikutan kekerapan pertukaran kerajaan sebelum ini antara punca prestasi sukan di negara ini merudum.

Ada juga mendakwa kehadiran pemain naturalisasi yang mewarnai temasya itu menjadi punca emas negara ‘dicuri’ sekali gus turut menjadi punca kegagalan membantu kontinjen untuk menyumbang emas seperti disasarkan.

Jadi, persoalannya siapa yang harus dipertanggungjawab atas kegagalan selepas negara hanya mengutip 34 emas dan pencapaian itu dianggap terburuk dalam sejarah penyertaan negara.

Lebih memeritkan, Malaysia menamatkan cabaran di tempat ketujuh dan kontinjen negara yang menghantar 676 atlet berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja.

Bagi penulis, sudah-sudahlah menuding jari kerana Malaysia mempunyai misi lebih besar iaitu Sukan Asia di Hangzhou, China pada Oktober ini dan seterusnya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Jika pihak yang bertanggungjawab masih mencari silap dan tiada tindakan segera dibuat untuk memperbaiki masalah, tidak mustahil Malaysia terus ‘layu’ di pentas antarbangsa, malah musibah lebih besar bakal berlaku terutama di China atau di Paris atau tidak mampu bangkit menjelang Sukan SEA Thailand pada 2025 nanti.

Penganalisis sukan tanah air yang juga Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, pada dasarnya, Malaysia memerlukan revolusi sukan yang terbaharu untuk memastikan sukan di Malaysia terus bangkit.

“Mari perbetulkan sikap dan ubah lanskap sukan negara kita. Mari kita perbetulkan ekosistem sukan negara kita. Jangan sampai nanti kita berada di bawah Myanmar, Brunei, Laos dan Timor Leste.

“Kita sepatutnya berada sebaris dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia dan bukan di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja. Jadi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) ambil kegagalan ini sebagai iktibar dan muhasabah diri.

“Pihak bertanggungjawab merangka model baharu agar kegagalan ini mampu diatasi. Bukan saja ‘bedah siasat’ perlu dilakukan KBS, malah perjumpaan dengan kesemua Persatuan Sukan Kebangsaan Malaysia (PSK) dibuat untuk melihat punca-punca kegagalan ini,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau berkata, selain itu, pihak terlibat perlu melihat adakah setiap persatuan melakukan ‘kerja’ mereka seperti pembangunan sukan, kaedah kejurulatihan dan latihan komprenhensif sebelum ke Sukan SEA.

“Jika ada persatuan ada masalah, kerajaan perlu main peranan membantu agar atlet yang bakal lahir nanti mendapat segala kemudahan terbaik.

“Pendapat saya, KBS perlu mula dari bawah untuk melihat kelemahan. Tak guna lagi mencari salah siapa dan bergerak segera mencari satu jalan terbaik. Revolusi sukan perlu dibuat agar kita tidak lagi layu. Kalau tidak perkara sama akan berlaku pada edisi seterusnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI