KLANG – Polis menahan tiga lelaki selepas disyaki merogol seorang wanita yang merupakan pekerja pasar raya di daerah ini, awal pagi tadi.
Ketiga-tiga suspek termasuk bekas teman lelaki wanita itu yang berusia 20 dan 22 tahun itu diberkas bermula pukul 2 pagi menerusi dua serbuan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, mereka dikehendaki selepas merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang wanita berusia 21 tahun pada Jumaat lalu.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa yang ingin pulang ke rumah daripada tempat kerjanya telah diugut bekas teman lelaki berusia 22 tahun untuk menyebarkan video tidak senonoh hubungan mereka sebelum ini di media sosial.
“Bimbang perkara tersebut, mangsa kemudiannya terpaksa mengikuti suspek ke rumah sewanya.
“Sebaik tiba di rumah sewa, bekas teman lelakinya telah mengadakan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa. Wanita itu turut diugut agar tidak memberitahu kejadian berkenaan kepada sesiapa sekiranya tidak mahu video bogel tersebar serta dipukul oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, dua rakan suspek yang berada di rumah tersebut kemudiannya telah meminta wanita itu memuaskan nafsu mereka namun ditolak oleh mangsa.
Tegas Nurulhuda, kedua-dua lelaki itu telah bertindak menolak mangsa sebelum mencekik leher serta memaksa melakukan persetubuhan di luar tabii.
“Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi motosikal.
“Kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 377A Kanun Keseksaan,” katanya. -K!ONLINE