KOTA BHARU – Seorang pemandu lori sebuah syarikat kurier dicekup selepas dipercayai membawa sebanyak 4.94 juta batang rokok seludup bernilai RM3.69 juta termasuk cukai di Gua Musang dekat sini pada Khamis lalu.
Suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi apabila anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan lori terbabit kira-kira pukul 10 pagi.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, lori kurier yang dipandu suspek disyaki sedang dalam perjalanan keluar dari Kelantan sebelum ditahan anggota penguat kuasa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam lori terbabit menjumpai sebanyak 494 kotak yang mengandungi 4,940,000 batang rokok seludup.
“Serbuan itu dijalankan selepas anggota penguat kuasa menjalankan intipan selama seminggu untuk mengesan lori terbabit yang dipercayai membawa barangan seludup dari negara jiran.
“Siasatan mendapati pemandu lori kurier itu mengambil upah daripada kumpulan sindiket penyeludupan rokok. Sindiket itu dipercayai menyeludup masuk rokok-rokok berkenaan menggunakan bot melalui perairan negara sebelum dibawa menaiki kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma JKDM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Jamal memberitahu, rokok yang dirampas itu dipercayai akan dijual di pasaran luar Kelantan kerana permintaan terhadap barangan tersebut semakin meningkat.-KOSMO! ONLINE