JOHOR BAHRU – Usaha satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran untuk menghantar ketulan ganja mampat yang disembunyikan dalam bekas biskut raya ke Sarawak tidak berhasil setelah dua individu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Johor Bahru, bulan lalu.
Pengarah Kastam Negeri, Misbahudin Parmin berkata, susulan penahanan dua lelaki warga tempatan itu, pihaknya berjaya merampas bungkusan ganja seberat 24 kilogram (kg) berjumlah RM82,874.
Beliau berkata, risikan selama tiga bulan hasil maklumat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, pihaknya telah menyerbu pejabat syarikat penghantaran pada 12.05 tengah hari, 11 April lalu dan merampas sembilan bungkusan yang ingin dikirim keluar.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan tersebut menjumpai 10 ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja yang disembunyikan dalam bekas lutsinar yang mengandungi kacang dan biskut.
“Susulan penemuan dadah itu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang menghantar bungkusan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Misbahudin berkata, tangkapan tersebut telah membawa kepada serbuan ke sebuah rumah kediaman yang dijadikan tempat untuk membungkus ganja sebelum dihantar kepada penerima.
Katanya, hasil pemeriksaan rapi, pasukan telah menemui ketulan tumbuhan mampat yang disyaki dadah jenis ganja dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penghuni rumah kediaman berkenaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja. Hasil serbuan di dua lokasi itu, kita telah berjaya merampas ganja seberat 24kg.-KOSMO! ONLINE