fbpx

Markah terendah, Naufal Azrin tinggalkan Big Stage 5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAUFAL AZRIN

PETALING JAYA – Langkah peserta Big Stage musim kelima (BS5), Naufal Azrin akhirnya terhenti mendapat markah terendah pada konsert minggu ketiga yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam malam tadi.

Paling mengecewakan ramai, penyanyi berusia 23 tahun itu dikataakan tidak memanfaatkan undian Imuniti X barisan juri yang membantu menyelamatkannya selepas hampir tersingkir pada konsert minggu lalu.

Mendendangkan lagu Only milik penyanyi Korea Selatan, Lee Hi, dia bagaimanapun tidak mampu mencuri hati juri tetap, Ajai dan Aina Abdul serta juri jemputan, Ernie Zakri.

Naufal atau Ahmad Naufal Azrin hanya meraih 62.33 peratus daripada juri, manakala bagi undian penonton membabitkan tiga peserta dengan pungutan mata terendah, dia diberikan 5.95 peratus sahaja.

Katanya, dia sudah memberikan sehabis baik untuk persembahan tersebut, namun sakit tekak membataskan kemampuannya untuk melakukan improvisasi.

“Saya lega dan sudah memberikan 200 peratus. Apabila dapat lagu minggu lepas, sejak hari Isnin lagi saya berlatih bersungguh-sungguh tetapi sampai sini sahaja rezeki saya.

“Tiada masalah dari segi lagu atau perkara lain, cuma tekak saya ada masalah sikit,” katanya pada sidang akhbar selepas konsert.

Dua lagi peserta tercorot, Meer Nash dan kumpulan Coex, masing-masing meraih 57.33 serta 58.33 peratus mata, namun terus kekal dalam persaingan disebabkan kelebihan undian penonton.

Sementara itu, menurut Aina, Naufal sememangnya artis rakaman yang baik berikutan tona suaranya, tetapi kurang menyerlah dalam pertandingan.

“Kalau ikut pendapat peribadi, saya bersetuju malam ini dia berada dalam senarai tiga terbawah. Dia seorang penyanyi rakaman yang bagus.

“Tona suaranya sangat mahal, buat semua orang cair, tapi bukan untuk pertandingan. Minggu lepas kita bagi peluang (selamatkan). Kalau bagi lagi kita pula dibenci,” katanya.

Mengangkat tema Asmaraloka, konsert minggu ketiga ini turut menyaksikan penguasaan Putera Muhammad yang meraih Anugerah Dominasi Persembahan Terbaik bersama ganjaran RM3,000.

Penyanyi Indonesia, Waode pula berada di posisi teratas dengan pungutan markah tertinggi sebanyak 90.67 peratus menerusi persembahan cemerlang bagi lagu Sang Dewi (Lyodra dan Andy Rianto).

Terdahulu, Ahad lalu Naufal sepatutnya menjadi peserta pertama tersingkir selepas turut mendapat undian terendah penonton, namun kuasa juri ‘mengorbankan’ Isaac Voo yang dipilih menggantikan tempatnya.

Bagi minggu keempat nanti, seramai 11 peserta yang berjaya meneruskan perjuangan bakal bertarung membawakan dendangan bertemakan Hari Galau Jiwa.

Program kendalian Elly Mazlein dan Rina Nose ini bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu pada setiap Ahad mulai pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI