HULU SELANGOR – Perkelahan tiga rakan di kawasan Air Terjun Lata Medang, Kuala Kubu Bharu, di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka meninggal dunia akibat lemas, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan insiden mangsa lemas pada pukul 2.26 petang.
Katanya, seramai enam anggota lain-lain pangkat dan satu jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun dipercayai lemas ketika mandi bersama tiga rakannya yang menetap di Klang, Selangor.
“Susulan kejadian itu, kami bertindak mencari dan menyelamat mangsa melalui kaedah ‘Surface Water Rescue’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hafisham, mangsa ditemui oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pada pukul 4.03 petang.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.