fbpx

Jenazah Awang Askandar dijangka dibawa turun esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awang Askandar.

PUTRAJAYA – Jenazah pendaki negara, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, akan dibawa ke kawasan selamat pagi esok, sebelum ke Kathmandu, Nepal menggunakan bantuan helikopter.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Ketua Misi Malaysia Everest 2023 (ME2023), Azim Afif Ishak, 35, ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, sebentar tadi.

Azim berkata, ketika ini, enam orang malim gunung sudah berada di kem pendaki ME2023 bagi urusan membawa turun jenazah.

“Esok pagi, jenazah akan dibawa turun ke kawasan selamat bagi memudahkan helikopter melakukan ‘long line rescue’ seterusnya dibawa ke Kathmandu untuk dibedah siasat dan urusan selanjutnya,” katanya.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu juga sedang berhubung rapat dengan beliau bagi urusan penerimaan jenazah itu.

Jelasnya lagi, ketika ini cuaca agak berawan dan bersalji serta diharap cuaca bertambah baik esok sekali gus memudahkan urusan membawa turun jenazah.

Mengulas mengenai misi mencari dan menyelamat seorang lagi pendaki, Muhamamad Hawari Hashim, 33, pula, Azim berkata, misi itu akan dikendalikan seorang lagi pendaki ME2023, Tiong Ling Yang.

“Ada dua operasi ketika ini, pertama membawa turun jenazah Awang Askandar dan kedua, misi mencari dan menyelamat Muhammad Hawari,” katanya.

Sementara itu, media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) hari ini melaporkan, seorang lagi pendaki disahkan maut menjadikan 10 kes kematian dilaporkan ketika ini.

Pengarah Urusan Asian Trekking, Dawa Steven Sherpa dilaporkan berkata, pendaki yang maut adalah Jason Bernard Kennison, 40, berasal dari Australia.

THT turut melaporkan Muhammad Hawari antara dua pendaki yang masih hilang termasuk seorang pendaki Singapura dikenali sebagai Shrinivas Sainis Dattatraya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI