BATU GAJAH – Penternak lembu dan kerbau di negeri ini terus dihimpit resah mengenangkan haiwan peliharaan itu menjadi buruan pencuri hingga terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.
Penternak, R. Kaviyarasan, 38, berkata, kecurian ternakan itu dilihat semakin berleluasa dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini apabila 120 ekor haiwannya hilang dikebas pencuri.
Katanya, selain lembu, dia juga terpaksa berputih mata apabila kira-kira 80 ekor kerbaunya mengalami nasib sama.
“Dalam masa terdekat ini, hampir setiap hari lembu dan kerbau peliharaan saya hilang. Kerugian yang ditanggung bukan sedikit, hampir mencecah setengah juta.
“Walaupun memiliki dua kandang di Tanjung Tualang, kebanyakan ternakan ini dilepaskan bebas di kawasan padang ragut untuk makan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Tun Sambanthan, Kinta Valley di sini hari ini.
Menurutnya, dia telah membuat beberapa laporan polis berkaitan kecurian itu dan berharap pihak berkuasa dapat segera memberkas individu yang bertanggungjawab.
“Keluarga saya menternak lembu dan kerbau sejak 20 tahun lalu. Sebelum ini keadaan ini tidaklah teruk cuma beberapa tahun lepas sahaja kes kecurian semakin menjadi-jadi.
“Saya bimbang jika tiada tindakan tegas, 1,000 ekor lembu dan 500 ekor kerbau peliharaan saya pun akan hilang dikebas pencuri tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu rakannya, R. Gunasagaran, 54, berkata, dia kerugian hampir RM100,000 apabila kesemua 23 ekor lembu miliknya yang ditempatkan di dalam kandang hilang sekelip mata pada Januari lalu.
“Saya mula menternak lembu sejak Januari tahun lalu, tapi hairannya cukup setahun, lembu-lembu itu pun lesap dikebas pencuri.
“Sebulan dua selepas kejadian itu, saya ada juga cuba cari lembu-lembu itu namun sehingga kini masih gagal. Saya percaya sindiket curi lembu ini memang menyasarkan kandang ternakan saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE