PUTRAJAYA – Isu pertukaran kerajaan mahupun pertukaran Perdana Menteri tidak lagi timbul, malah idea itu sebenarnya sudah dikuburkan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, komitmen ditunjukkan semua ketua parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) pada konvensyen itu tidak boleh dipertikaikan.
“Kita sebenarnya telah ‘membunuh’ isu pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan dengan mengadakan konvensyen yang dilihat begitu berjaya.
“Ia juga telah menjadi saksi, malah setiap pemimpin-pemimpin parti yang berucap pada konvensyen itu menyatakan komitmen masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Hari Metrologi Sedunia 2023 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pendangannya mengenai tiada cadangan oleh pihak pembangkang untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri sempena sidang Dewan Rakyat yang akan bermula esok.
Katanya, jika Perikatan Nasional (PN) masih lagi mahu bermain dengan ‘game’ ini maka, esok adalah hari terbaik untuk mereka datang dan kemuka usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Salahuddin berkata, pada mesyuarat Kabinet lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keterbukaannya dan mencabar mana-mana pihak untuk mengemukan usul undi tidak percaya itu.
“Kalau ada gangguan lain esok (pada sidang Dewan Rakyat) maka saya boleh anggap ia ibarat langau-langau yang masih berterbangan mencari mangsa.
“Saya ingin tegaskan bahawa premis yang terbaik adalah Parlimen jika mereka ingin mencabar usul undi tidak percaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE