SEBERANG PERAI – Seorang pesara swasta tidak menyangka dipilih sebagai pemenang hadiah cabutan utama Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 CASA-I (SBMB 2.0) MBSB Bank Berhad (MBSB) sekali gus membawa pulang sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz C200 hari ini.
Ong Chin Eng, 65, yang berasal dari Kluang, Johor menerima ‘durian runtuh’ itu selepas namanya diumumkan sebagai pemenang bagi cabutan utama untuk suku kedua SBMB 2.0.
Selain Chin Eng, enam lagi pemenang iaitu Yong Pao Chui, Ong Chin Boon, Nurul Huda Osman, Yeoh Kwee Hong, Kung Lai Kheng dan Chan Wei Meng masing-masing membawa pulang wafer emas keluaran syarikat Habib Jewel bagi Cabutan Simpanan Tinggi Serantau Wilayah Utara.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan MBSB Bank, R. Ramanathan, sejak bermulanya kempen tersebut iaitu September tahun lepas hingga bulan ini, pihaknya telah menerima sebanyak 62,638 penyertaan.
Beliau berkata, MBSB Bank juga melihat peningkatan dalam jumlah deposit akaun simpanan dan akaun semasa PrimeWin-i melalui kempen ini dan amat menghargai sokongan yang diberi oleh para pelanggan ketika ini.
“Kempen ini ada tujuh kategori cabutan iaitu bulanan, kesetiaan, simpanan baharu, digital, simpanan tinggi serantau, istimewa serta utama.
“Selain kereta mewah, pelbagai hadiah lain termasuk motosikal, telefon pintar dan wang tunai yang secara keseluruhannya bernilai RM2.4 juta turut ditawarkan sepanjang kempen tersebut,” katanya kepada pemberita di sini. – KOSMO! ONLINE