SHAH ALAM – Teka-teki parti mana akan mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bakal diketahui 28 Mei ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, rundingan bersama telah dilakukan sebanyak tiga kali termasuk terbaharu kelmarin antara pihaknya bersama Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Katanya, pertemuan berlangsung dalam suasana harmoni dan bersama data -data dan fakta berhubung kerusi yang dipertandingkan calon masing-masing.
“28 hari bulan ini (keputusan pucuk pimpinan PH-BN) supaya semua parti yang bertanding mesti kembali ke kawasan masing-masing untuk melakukan persediaan jentera. PH dan BN bertanding di mana mereka sudah tahu (kerusi masing-masing).
“Kita mesti mula menggerakkan jentera, tetapi peringkat BN Selangor, saya sudah mengarahkan semua parti untuk segera membuka ‘War Room’ dua minggu lalu. Jadi tidak timbul isu tidak bersedia cuma kita hendak tahu kerusi mana BN bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Silaturrahim Aidilfitri UMNO Bahagian Shah Alam yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari malam tadi.
Megat Zulkarnain yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak memberitahu, kedua pihak perlu ada kata putus (penetapan calon) dan pembentangan kepada kepimpinan tertinggi BN akan berlansung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). -KOSMO!ONLINE