SEREMBAN – Sebanyak 96 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu merokok di tempat larangan merokok telah dikeluarkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) hasil operasi bersepadu PPKHT 2004 yang dijalankan di sekitar daerah ini, malam tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri, JKNNS, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, daripada keseluruhan notis berkenaan, tujuh notis dikeluarkan di kawasan hospital dan klinik, 29 notis di premis-premis makanan, 13 notis di kenderaan atau hentian pengangkutan awam dan 31 notis di kompleks beli-belah.
“Bagi kesalahan peraturan 12 yang melibatkan tuan punya premis pula, dua notis kesalahan dikeluarkan iaitu Peraturan 12 (1) (a) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan tiga notis kesalahan mengikut Peraturan 12 (1) (b) kerana tuan punya premis gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelaksanaan operasi berkenaan semalam.
Seramai 95 orang anggota penguatkuasa di bawah JKNNS, anggota-anggota daripada Bahagian Kawalan Penyakit serta Sektor Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan terlibat dalam operasi tersebut.
Dr. Harlina menambah, operasi bersepadu itu dilaksanakan bermula pukul 2 petang semalam sehingga 9.30 malam yang menyasarkan beberapa tempat larangan merokok seperti premis makan, kompleks membeli-belah, hentian pengangkutan awam dan hospital.
Katanya, fokus diberikan kepada premis makanan yang mana aduan paling banyak diterima melibatkan kesalahan berkenaan.
“Tiga lokasi premis perniagaan yang sering pihak kami menerima aduan melalui aplikasi WhatsApp adalah di kawasan Lobak, Temiang dan Sikamat,” katanya yang meminta orang ramai membuat aduan melalui talian khas menerusi aplikasi WhatsApp yang telah disediakan iaitu 010-8608949.
Dalam pada itu, tambahnya, dalam operasi berkenaan, sebanyak dua lagi notis kesalahan dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 14 (1) iaitu kesalahan tiada tanda larangan bagi orang belum dewasa dan sembilan notis lagi bagi kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu kesalahan orang belum dewasa merokok. – KOSMO! ONLINE