fbpx

EPL: Brentford lebur ego Spurs di laman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Brentford, Bryan Mbeumo (kiri) menjadi wira pasukan apabila menjaringkan dua gol ketika menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur sebentar tadi.

LONDON – Peluang Tottenham Hotspur untuk melayakkan diri ke saingan Liga Europa musim depan tampak semakin kelam selepas tewas 1-3 kepada Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur sebentar tadi.

Meskipun mendahului perlawanan 1-0 di separuh masa pertama, namun Spurs gagal menyekat kebangkitan pasukan pelawat selepas waktu rehat apabila membenarkan Brentford bangkit menjaringkan tiga gol.

Keputusan itu seolah-olah hampir menutup peluang Spurs untuk ke Liga Europa apabila menghuni tangga ketujuh liga dengan 57 mata selain berbaki satu perlawanan sahaja lagi.

Pada perlawanan itu, Spurs bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan hasil jaringan menarik penyerang, Harry Kane yang berpunca daripada gerakan set-piece.

Brentford yang turun tanpa kelibat penyerang utama, Ivan Toney akibat penggantungan lapan bulan cuba memburu gol penyamaan, namun kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, penyerang Brentford, Bryan Mbeumo tidak menunggu lama apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50 sebelum meledak gol kedua pasukannya 12 minit kemudian.

Tersentak dengan gol tersebut, Spurs kemudiannya kembali mengatur serangan untuk sekurang-kurangnya mendapatkan gol penyamaan, namun usaha itu sia-sia apabila Brentford menjaringkan gol ketiga menerusi Yoanne Wissa pada minit ke-88.

Berbekalkan masa kecederaan selama sembilan minit, Spurs melakukan serangan menggila ke arah pintu gol Brentford, namun beberapa percubaan berbahaya dinafikan oleh kecekapan penjaga gol, David Raya.

Berbaki satu perlawanan sahaja lagi, Spurs wajib untuk menewaskan Leeds United pada 28 Mei ini selain mengharapkan Brighton dan Aston Villa tercicir mata bagi mencerahkan peluang mereka ke Liga Europa musim depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI