TAMPIN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau mengikuti perkembangan politik di Melaka termasuk mengenai desas-desus seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bakal menyertai parti lawan.
Malah Zahid berkata, beliau cukup kenal dengan ADUN berkenaan dan akan bertemu dengan individu tersebut dalam masa terdekat
“Saya mengikuti perkembangan itu, saya kenal ADUN itu dan akan bertemu dengan beliau dalam waktu terdekat,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Kompleks Sukan Komuniti Felda Jelai 2, Gemas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai formula orang muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi menyatakan, formula tersebut sudah terbukti di PRN Melaka 2021.
“Formula orang muda, ia sudah terbukit di PRN Melaka, saya meletakkan 82 peratus muka baharu yang mana 67 peratus adalah orang-orang muda. Begitu juga di Johor, ia berada di tahap 74 peratus dan Kerajaan Johor diketuai oleh orang muda dan Exco juga orang muda.
“Trend ini adalah trend yang menjadi harapan kepada rakyat, bukan kita tidak menghormati orang lama… saya pun orang lama tetapi hakikatnya yang lama menyayangi yang baru, yang baru menghormati yang lama,” katanya. -KOSMO! ONLINE