PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Kepemimpinan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.
Pengiktirafan itu diberikan pada istiadat konvokesyen khas sempena sambutan ulang tahun penubuhan UIAM yang ke-40 dan disampaikan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat ke istiadat yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan UIAM itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman, Rektor UIAM Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Menurut UIAM, penganugerahan itu adalah satu penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Kepimpinan Seri Paduka Baginda terserlah apabila bersama-sama rakyat jelata memimpin negara ketika wabak Covid-19 melanda dunia dan negara.
“Sikap keprihatinan Seri Paduka Baginda telah membantu rakyat dan memberikan semangat kepada warga barisan hadapan untuk sama-sama bangkit dan melawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Istana Negara hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, keprihatinan Seri Paduka Baginda juga terserlah ketika setiap kali mendengar rakyat ditimpa bencana dan akan segera mencemar duli untuk bertanya khabar, memberi kata-kata semangat dan mengurniakan sumbangan peribadi.
Jelasnya, ketokohan dan kepemimpinan Seri Paduka Baginda juga terserlah apabila kemelut politik yang melanda negara dirungkaikan dengan penuh berhemah dan profesional.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada UIAM dan berbesar hati dianugerahkan ijazah kehormat berkenaan yang disifatkan bukan untuk pencapaian diri Baginda tetapi juga mengiktiraf nilai dan peranan rakyat di Malaysia.
“Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa kepemimpinan adalah sebahagian daripada tanggungjawab Baginda dan tanggungjawab itu dipikul bukan untuk ganjaran atau pengiktirafan peribadi,” ujarnya.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada permaisuri Baginda, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan semangat kepada Baginda.
“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa dengan sokongan, kasih sayang, pengorbanan yang tidak berbelah bahagi dan sifat memahami Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah membantu Baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin,” kata Istana Negara. – KOSMO! ONLINE