fbpx

Rugi RM8,000 ratusan durian dipukul ‘kepala angin hitam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SYUKOR menunjukkan sebahagian buah durian yang gugur ketika ribut di Kampung Melayu Raya, Segamat semalam.

SEGAMAT – Seorang pekebun durian berputih mata apabila menyaksikan ratusan biji durian daripada 12 batang pokok yang hanya menunggu masa untuk luruh, musnah akibat dilanda ribut di Kampung Melayu Raya, Segamat, di sini Khamis lalu.

Mohd. Syukor Mahabah, 59, berkata, hujan lebat bermula kira-kira pukul 4 petang sebelum dia ternampak ‘kepala angin hitam’ datang dari arah pokok durian di belakang rumah, setengah jam kemudian.

“Kepala angin yang hitam pekat itu datang dengan amat laju sebelum merempuh pokok durian dan dahan rambutan.

“Dalam sekelip mata sahaja ribut mengangkat lima bumbung kediaman dan empat bumbung premis kedai serta bumbung surau di sekitar kampung” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Raya, di sini semalam.

Menurutnya, buah durian berkenaan belum lagi masak dan hanya menunggu masa untuk luruh beberapa minggu lagi, sekali gus menyebabkan ia tidak boleh dimakan atau dijual kerana rasanya masih kelat.

Katanya, dia mengalami kerugian kira-kira RM8,000 akibat tidak dapat menjual buah durian, namun reda dengan kehendak Ilahi.

“Saya juga cuba mencari durian yang mungkin masih elok, tetapi hampa kerana masih terlalu muda.

“Ribuan putik muda buah rambutan juga gugur dibadai angin kencang. Sepatutnya rambutan tersebut mampu memberikan pendapatan tambahan hasil daripada penjualan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Rahmat Samit, 58, berkata, dia turut mengalami kerugian apabila bumbung rumahnya rosak akibat kejadian ribut itu.

“Ketika kejadian saya berada di rumah dan dihubungi jiran memberitahu bumbung rumah mereka turut rosak dilanda ribut.

“Setelah semuanya reda, saya keluar melihat bumbung rumah yang tercabut,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI