KUALA LUMPUR – Aktres meningkat naik Shaza Bae mengakui sering menerima kritikan mengenai rupa parasnya dan tidak layak untuk bergelar pelakon kerana tidak jelita.
Lebih pedih, dia mendedahkan pernah dikatakan sebagai pemenang Dewi Remaja yang paling tidak cantik setakat ini.
“Saya pernah menerima kritikan daripada beberapa pihak cakap saya tidak cukup cantik untuk jadi seorang pelakon.
“Selepas kejadian, saya diamkan diri sahaja cuma lebih bersemangat untuk bersiap cantik-cantik apabila keluar ke mana-mana,” katanya kepada Kosmo! Online usai sidang akhbar drama terbaharu Viu berjudul Journal Sara-haeyo baru-baru ini.
Walaupun begitu, Shaza tidak kesal dengan kritikan tersebut sebaliknya lebih bersemangat untuk menunjukkan yang terbaik.
“Netizen juga pernah cakap saya Dewi Remaja paling tidak cantik namun sudah lali dengan kritikan orang.
“Meskipun digelar tidak cantik, saya tetap akan menjaga penampilan setiap kali keluar.
“Bagi lakonan pula, saya akan pastikan dapat buat betul-betul dalam menjayakan sesebuah watak,” kata juara Dewi Remaja 2019 itu.
Shaza atau nama lengkapnya Shaza Nuriman Mohamad Zamri akui sudah mempersiapkan diri sebelum memasuki industri seni terutama sekali apabila menerima tamparan komen-komen negatif daripada netizen.
“Saya sendiri sudah bersedia dengan kritikan sebelum masuk ke dalam industri.
“Lagipun, saya lebih rela dikritik tentang wajah berbanding kredibiliti saya.
“Mungkin apabila orang cakap saya tidak cukup berbakat dalam lakonan saya akan lebih sakit hati,” jelasnya.
Melihat semula perjalanan seninya, Shaza sebelum ini kerap menjadi teraju utama drama tempatan seperti Nusyuz Berkiblat Cinta dan Ulya & Dini. dan – KOSMO! ONLINE