PUTRAJAYA – Kesemua 57 buah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pendidikan tinggi.
Perkara tersebut disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menyertai Forum Rusia – Dunia Islam 2023 di Kazan, Tatarstan semalam.
“Saya menegaskan bahawa kemajuan teknologi bukanlah sesuatu yang dapat dihalang namun lebih penting adalah cara kerajaan bijak menguruskan kemaraan AI itu,” jelasnya.
Program bertaraf global itu yang turut dikenali sebagai Forum Kazan, merupakan sidang kemuncak terbesar di Rusia dengan disertai lebih 7,500 peserta daripada 75 buah negara selama tiga berakhir semalam yang dihadiri Presiden Rusia, Vladimir Putin sendiri.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, isu AI ada diajukan oleh salah seorang hadirin forum itu yang ingin tahu pendirian Malaysia terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Saya menekankan pengurusan AI perlu dibuat secara matang dan profesional di sebalik keperluan semua negara OIC memberi perhatian kepada sains dan teknologi,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menyarankan cabaran kritikal dunia ketika ini dengan negara Islam mesti mengangkat bakat dan minda terbaik dengan diberikan banyak sokongan dana.
Disamping itu, Mohamed Khaled mengajak kalangan anggota OIC bekerjasama dalam penyelidikan bersifat rentas sempadan yang melibatkan pelbagai pihak dan organisasi.
Beliau kemudian turut hadir menyaksikan sesi pemeteraian memorandum persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia dengan tiga institusi pengajian tinggi dari Rusia. – KOSMO! ONLINE