fbpx

Muhammad Hawari pula hilang lepas tawan Everest

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendaki OKU ME 2023, Muhammad Hawari berjaya tawan puncak Everest, semalam. Foto oleh ME 2023.

PUTRAJAYA – Berita duka terus menyelebungi kem pasukan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) apabila salah seorang pendakinya, Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang, pagi semalam.

Sebelum itu, Muhammad Hawari yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran telah pun berjaya menakluk puncak Everest petang kelmarin.

Berita kehilangan Muhammad Hawari yang turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) difahamkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat.

Pengarah di Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki dilaporkan berkata, usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan terutama di semua kem pendakian lain.

“Kami difahamkan Muhammad Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung dan rakan pendakinya, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56.

“Ketika dilaporkan hilang, Awang Askandar sebelum itu dilaporkan berdepan masalah kesihatan sebelum disahkan meninggal dunia tengah hari (waktu Malaysia) semalam,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Muhammad Hawari berjaya menawan puncak Everest (8,848 meter dari paras laut) kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin.

Sebelum ini, Awang Askandar yang juga rakan pendaki Muhammad Hawari disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter.

Setakat berita ini dilaporkan, wartawan belum lagi dapat menghubungi ketua misi ME2023, Azim Afif Ishak bagi mendapatkan perkembangan lanjut.

Malah, difahamkan usaha membawa turun mayat Awang Askandar juga dikatakan buntu ketika ini susulan insiden terbaharu menimpa kem pasukan pendaki itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI