fbpx

KPM tunggu laporan penuh siasatan kes guru besar tampar murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar sekolah pada program Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan di Hotel Grand Renai, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan penuh siasatan kes seorang murid yang masih trauma untuk ke sekolah akibat ditampar guru besar di sebuah sekolah, di sini, pada Mac lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudah menjalankan kerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak berkuasa dalam kes tersebut.

Menurutnya, kebiasaannya, tindakan akan diambil oleh pihak kementerian selepas prosedur siasatan kes selesai.

“Saya ambil maklum berkenaan kes itu (kes murid ditampar guru besar). Kita sedang tunggu siasatan dan laporan. Jadi, beri ruang kepada proses yang sedang berlaku.

“Suka saya ingatkan bahawa negara ini ada hukum dan prosesnya mesti berlaku. Siasatan dan laporan sehingga ke tindakan sewajarnya dalam tindakan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan di Hotel Grand Renai di sini hari ini.

Terdahulu, seorang murid perempuan tahun lima trauma untuk ke sekolah selepas ditampar oleh guru besar di hadapan murid-murid lain di dalam dewan sebuah sekolah di sini pada Mac lalu.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 31, berkata, anaknya pulang dari sekolah dalam keadaan menangis sebelum memaklumkan bahawa dia dan seorang rakan ditampar guru besar hanya kerana bersembunyi di dalam tandas.

Menurutnya, guru besar itu tidak memberikan alasan yang munasabah apabila membawa anak dan rakannya ke dewan sekolah terbabit sebelum menampar pipi mereka.

“Anak saya memaklumkan bahawa dia hanya pergi ke tandas. Dia bersembunyi di tandas itu apabila dipanggil oleh guru besar terbabit.

“Walaupun kejadian itu berlaku hampir tiga bulan lalu, anak saya asyik menangis apabila teringat-ingat insiden terbabit. Dia juga masih takut ke sekolah apabila sering ponteng dua hari setiap minggu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya, di sini kelmarin.

Nurul memberitahu, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri di sini pada 30 Mac lalu sebelum dipanggil oleh pihak sekolah untuk mengadakan perbincangan.

“Saya agak kecewa apabila Pejabat Pendidikan Daerah tidak mengambil tindakan terhadap kes yang berlaku kepada anak saya,” katanya.

Menurut Nurul, sehubungan itu, dia telah membuat laporan polis kedua berhubung kejadian itu di balai polis sama pada Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI